Kematian Tragis Adik Rayan Mengingatkan Arab Saudi Kepada Lama Al-Rouqi


Seluruh dunia kini berduka cita dengan pemergian adik Rayan Oram, kanak-kanak warga Morocco berusia lima tahun yang terperangkap ke dalam perigi berkedalaman 32 meter sejak Selasa lalu.

Peristiwa yang bakal jadi sejarah pahit ini telah mencengkam jiwa kita semua. Namun takdir sudah ditentukan, usaha ramai pihak yang cuba menyelamatkan kanak-kanak itu akhirnya berakhir dengan kematian.

Bagaimanpaun, ini bukanlah tragedi tragis kanak-kanak ‘tidak berdosa’ terjatuh ke dalam perigi yang kali pertama berlaku dalam lipatan sejarah di sana. Percaya atau tidak, ada seorang lagi kanak-kanak perempuan menerima nasib sama seakan Rayan.

Mengimbas kembali, pada Disember 2013, seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, Lama Al-Rouqi dari Arab Saudi juga pernah terjatuh ke dalam sebuah perigi terbiar berdekatan bandar Tabuk.

Menurut laporan Arab News, pada asalnya kanak-kanak tersebut pergi berkelah bersama-sama keluarganya di kawasan itu. Namun dia didakwa terjatuh ke dalam sebuah telaga yang berkedalaman kira-kira 100 meter.


Pelbagai usaha menyelamat dijalankan termasuklah bantuan kamera inframerah yang digunakan untuk menjejak tubuhnya. Bagaimanapun mereka hanya ‘berjaya’ menemui jasadnya yang tidak lagi bernyawa tersepit di celahan telaga pada kedalaman 40 meter ke bawah.

Difahamkan, berdasarkan ujian DNA yang dilakukan ke atas mayat adik Lama Al-Rouqi, dia telah disahkan meninggal ketika masih terperangkap di dalam perigi tersebut.

Pada ketika itu, pihak pertahanan Awam Saudi dilapor telah menyalahkan geografi kawasan tersebut kerana keadaan telaga itu yang berdiameter seluas 50 sentimeter.

Hal ini yang menyebabkan usaha menyelamatkan adik Lama Al-Rouqi terhalang dan seterusnya mengakibatkan kematian. Selain itu, tanah, angin, kualiti tanah serta kedalaman telaga juga mempengaruhi usaha tersebut.

Mengeksplorasi kenyataan dari Arab News, beberapa tahun sebelum itu terdapat juga seorang lelaki dewasa yang jatuh ke dalam perigi berukuran 50 meter. Namun pada waktu itu lelaki tersebut berjaya diselamatkan oleh pihak berwajib.

Kerana adik Lama, aplikasi LAMA dibangunkan

Berikutan tragedi yang menimpa adik Lama Al-Rouqi, sekumpulan anak muda telah melancarkan satu aplikasi yang dikatakan mampu mengurangkan tragedi seperti kejadian tersebut berlaku.

Aplikasi tersebut yang diberi nama LAMA, telah menyediakan platform yang mudah untuk melaporkan sebarang telaga ‘buta’ yang ditemui oleh pihak berkuasa atau sesiapa sahaja.  Aplikasi ini berfungsi walaupun tanpa sambungan internet.

Menariknya, penggunaan aplikasi tersebut menjadi popular dalam kalangan pengguna media sosial. Segalanya bermula gara-gara berita tragedi kematian yang menimpa adik Lama Al-Rouqi tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Beberapa insiden perigi yang juga turut dicatatkan pada tahun sebelum-sebelum itu. Pada tahun 2012, seorang wanita berusia 30 tahun terjatuh ke dalam perigi kampung Umm Al-Doum di Taif.

Selain itu, Rehab Al-Ofi berusia empat tahun juga telah diragut nyawa apabila terjatuh ke dalam perigi terbiar berkedalaman 60 meter di kampung Al-Qusaiba di wilayah Madinah.

Walau bagaimanapun, menurut Arab News, tragedi seperti itu sudah jarang berlaku kerana pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan arah untuk kambus semula telaga yang tidak lagi digunakan.

Sumber: Arab News

Comments

Popular posts from this blog

Golongan T20 Guna i-Sinar Beli Emas & Saham

PGA Rampas Senapang & Syabu Dalam Serbuan Di Kalabakan

Selepas Jadi Jutawan Jual Selfie Di NFT, Lelaki Ini Mula ‘Dikejar’ Wanita